Institut Pengajian al-Quran (iPaQ)

Pilihan Bahasa

Institut Pengajian al-Quran(IPaQ) diperbadankan pada 13hb Mei 2013. IPaQ merupakan satu badan bukan-kerajaan (NGO) diperbadankan sebagai sebuah Yayasan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri, khusus untuk membangun dan mengembangkan ilmu al-Quran terutamanya dalam usaha membasmi buta huruf al-Quran dalam kalangan ummah di Malaysia.

IPaQ juga merupakan sebuah Yayasan yang telah mendapat faedah pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN): LHDN.01/35/42/51/179-6.7930.

PERANAN IPAQ

IPaQ dizahirkan untuk matlamat “celik al-Quran” dan membasmi buta huruf al-Quran di kalangan Muslimin dan Muslimat, seterusnya meningkatkan pemahaman isi dan kandungan serta ibrah yang terkandung dalam kalam Allah SWT demi panduan dunia dan akhirat.

Sebagai sebahagian dari peranan di atas, IPaQ menjuruskan usahanya untuk:

  • Pembelajaran
  • Pengajian  
  • Pemahaman 
  • Penghayatan 
  • Pengaplikasian Ilmu al-Qu’ran

Untuk mencapai matlamat di atas IPaQ telah dan akan melaksanakan program-program dalam bidang:

  • Latihan Dan Pendidikan
  • Penyelidikan
  • Penerbitan
  • Usaha-Usaha Nasional Dan Antarabangsa

Carta Organisasi

Meliputi Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatan Kuasa Pengurusan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Institut Pengajian Islam(iPaQ), Sila baca dokumentasi lengkap melalui pilihan bahasa:

PERLAKSANAAN PROGRAM

1. Program Pembasmian Buta Huruf Quran:

Melalui daya usaha ini IPaQ memperkenal dan mengembangkan kaedah-kaedah dan metodologi-metodologi pembelajaran dan pengajian al-Quran yang telah terbukti keberkesanan dan penghasilannya. Antaranya:

Kaedah ABAHATA: Kaedah ini telah tebukti berjaya membolehkan para peserta yang dari dataran sifar atau buta huruf al-Quran, membaca dengan asas tajwid dan menulis rasm al-Quran dalam tempoh masa antara 20 hingga 30 jam sahaja.
Kaedah TAUFIQI: Pendekatan pembelajaran ini membolehkan para peserta mengenal, memahami serta menghuraikan hukum-hukum tajwid untuk membantu membaca al-Quran dengan tartil dalam tempoh 17 jam sahaja.

2. Kursus Latihan Tenaga Pengajar (LTP) atau Training of Trainers (ToT).

Para peserta program yang layak boleh dilatih untuk menjadi pembimbing atau tenaga pengajar ABAHATA dalam tempoh DUA hari.

Peserta yang berjaya akan diberi sijil dan ijazah sanad, disamping izin membuka kelas-kelas ABAHATA untuk melaksanakan programprogram celik al-Quran.

3. Penyelidikan:

IPaQ melaksana, menyokong dan / atau menaja usaha penyelidikan kesarjanaan untuk pemahaman ilmu al-Quran dan juga membongkar rahsia al-Quran termasuk intipati ibrah. Usaha ini bertujuan untuk memudahkan pengaplikasian ilmu al-Quran dalam kehidupan demi kejayaan dunia dan akhirat.

4. Penerbitan:

IPaQ juga berusaha untuk menerbitkan makalah-makalah, risalahrisalah dan penulisan berkaitan al-Quran bagi memperkayakan khazanah dan pustaka kesarjanaan ilmu al-Quran.

Usaha sulung IPaQ ialah menerbitkan buku “Pedoman Penting Mengenali Surah Al-Fatihah” karya Ustaz Wan Ainuddin Hilmi bin Abdullah (Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Naib Johan Antarabangsa pada tahun 2010, 2011, 2015 dan 2016) . IPaQ juga menerbitkan mushaf al-Quran Rasm Uthmani dengan kod tajwid berwarna dan terjemahan Perkata yang diintegrasikan dengan teknologi Audio.

5. Daya usaha nasional dan antarabangsa:

i. Program Nasional:

Penubuhan Akademi-Akademi Al-Quran: Fokus utama usaha ini adalah untuk membangunkan rangkaian pusat-pusat pembelajaran al-Quran iaitu:

AL-QALAM:

Pusat Wilayah, Al-Qalam atau Akademi Quran Malaysia, bertindak sebagai  pengkalan perancangan dan  pentadbiran serta urusetia pelaksanaan program-program pembangunan dan pengembangan ilmu al-Quran peringkat negeri.

AQWAM:

Akademi Quran Masyarakat (AQWAM) adalah pelaksana dan penyelaras program-program IPaQ, meliputi pembelajaran al-Quran dan program-program keilmuan untuk manfaat Muslimin/ Muslimat tempatan di peringkat daerah atau komuniti.

ii. Pembangunan WAKAF:

IPaQ berusaha membangunkan persada penyertaan ummah dalam inisiatif pembangunan dan pengembangan ilmu al-Quran melalui pengwujudan wakaf yang mendapat izin dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri-Negeri. Wakaf-wakaf ini berperanan sebagai jalur untuk pengumpulan dana infaq, sadaqah dan sumbangan ummah serta entiti-entiti korporat untuk dimanfaatkan bagi pembasmian buta huruf Quran dan pelaksanaan program-program memasyarakatkan al-Quran.

iii. Wacana-wacana Ilmu:

IPaQ merancang untuk melaksanakan majlis-majlis ilmu, bengkel-bengkel dan muzakarah yang bertujuan untuk membolehkan khalayak memahami dan menghayati ilmu serta ibrah al-Quran.

iv. Program-Program Antarabangsa:

Menyedari terdapatnya negara-negara luar yang masih banyak ketandusan sumber-sumber ilmu al-Quran, IPaQ telah merencana untuk merentasi perbatasan negara mengembangkan program-programnya, khususnya pembasmian buta huruf Quran, menggunakan kaedah Abahata.
Usaha ini telah bertitik tolak daripada pemaparan oleh IPaQ kepada beberapa anggota Regional Islamic Dakwah Council of South East Asia and Pacific (RISEAP) berkenaan ABAHATA yang telah menghasilkan permintaan untuk diperkenalkan di Negara-negara berkaitan. Negara pertama yang telah direncanakan ialah Australia, dan Insha Allah disusuli oleh Singapura, Brunei dan Kemboja.